Khamis, 21 Jun 2012

politik

Profile

Nurul Izzah Anwar merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai di bawah naungan Parti KeADILan Rakyat (PKR). Beliau menang di dalam pilihanraya umum pada 8 Mac 2008 lalu, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Shahrizat Abd. Jalil. Beliau merupakan puteri sulung kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PKR.

Kehadiran Nurul Izzah ke dalam lapangan politik negara sudah bermula sejak 1998 lagi, iaitu semasa beliau aktif mendukung agenda Reformasi, yang memperjuangkan perubahan dalam sistem politik dan ekonomi yang dikekang oleh rasuah dan salahguna kuasa. Beliau pernah menerima gelaran Puteri Reformasi di atas perjuangan mempertahankan maruah dan kebebasan bapanya, di samping tahanan-tahanan politik di Malaysia lainnya.

Menerusi aktiviti antarabangsa yang beliau ceburi, beliau berkesempatan menghadiri konvensyen yang memperjuangkan hak-hak asasi manusia, termasuklah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau juga, bersama teman-teman dari badan-badan bukan kerajaan seperti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) dan ALTSEAN BURMA sempat mengadakan rapat umum bersama pelajar-pelajar Malaysia dan luar Negara di universiti-universiti seluruh dunia untuk mengetengahkan isu ketempangan demokrasi di Malaysia.
Beliau juga telah menyumbang dalam penulisan Global Health Watch 2 (2008), sebuah penerbitan laporan alternatif kesihatan sedunia, dan bergiat aktif dalam kumpulan Women Leaders Intercultural Forum (WLIF) kelolaan bekas Presiden Ireland, Mary Robinson dari tahun 2005-2007.

Memiliki ijazah sarjana muda di dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal & Elektronik dari Universiti Tenaga Nasional, beliau kemudiannya menyambung pengajian di peringkat sarjana di School of Advanced International Studies (SAIS), Universiti Johns Hopkins, Washington, D.C. di dalam bidang Kajian Asia Tenggara, Hubungan Antarabangsa.

Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Raja Ahmad Shahrir dan mereka telah dikurniakan dua orang cahayamata, Raja Nur Safiyah dan Raja Harith.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan